Thursday, May 22, 2014

Penalti

Gila apa PJ hari Isnin? PJ ni boleh jadi Petaling Jaya boleh jadi  Pendidikan Jasmani. Tapi dia boleh je nak jadi apa pon janji tak tinggal semayang. Benda semayang ni wajib. Semayang ni umpama tiang agama. Benda paling buat aku high temperature waktu tu guru besar. Pasal aku ingat semua benda dalam sekolah ni guru besar yang memandai buat keputusan. Dulu dulu aku paling happy tak patut kalau Isnin hujan. Pertama pasal takde perhimpunan. Kedua sebab nak ketawakan budak budak darjah 6 sebab tak dapat PJ. Tapi sekarang kalau hujan aku punya happy tu dah pegi separuh. Budak budak darjah 6 tumpu UPSR sudah la.

Jujur cakap la, aku ok ok je kalau pj hari Isnin sebenarnya. Tapi perhimpunan buat hari Sabtu. Cikgu-cikgu ni kalau berleter sampai lupa yang dia ada kat sekolah bukan rumah. Itu belum lagi ucapan guru besar. Guru besar punya ucapan lagi lah tak in dengan jiwa aku, ucapan sebesar besar benda ponteng kokurikulum sampai la sekecil kecil benda macam tak kapur kasut sekolah semua dia bantai nak cerita. Ada sekali tu guru besar aku ni cerita kisah dia tertinggal teksi sebab nak datang sekolah. Sepatutnya cerita seumpama itu cerita kat cikgu-cikgu kat kantin sudah. Budak budak macam aku bukan nak dengar tu semua, kitaorang nak dengar cerita pasal hari sukan, hari kantin, pengumuman kelas paling bersih, pengumuman pemenang  kuiz minggu lepas itu je. Benda-benda lain dia ingat budak budak macam aku ni kesah ke? aku takda hal sangat pasal ucapan tu, aku ada hal kalau perhimpunan tu menganggu (P&P) pengajaran dan pembelajaran. Aku tak nak cerita pasal ucapan tu semua nanti engkorang cakap aku pon sama naik macam cikgu cikgu tu jugak macam la aku tak tahu.

Disebabkan  cikgu-cikgu  tak pernah menyelami hati budak budak rage macam aku. Aku tak nak kawan sama cikgu. Nasihat yang datang daripada cikgu-cikgu mengalir tenang dalam telinga aku. Kadang kadang dia masuk ikut kiri dan keluar ikut kanan. Liverpool sangat la kalau masuk ikut kanan. Pasal aku selalu korek telinga kanan waktu perhimpunan. Mana la aku ada masa nak korek telinga kat rumah. Kalau aku korek telinga, sape nak buat kerja sekolah aku. Korang dapat tangkap tak ni?

Nasihat itu seperti tiada simpang yang membawanya ke otak aku. Melimpah jatuh ke bumi masih yang masih sejuk disirami embun pagi. Bila sampai waktu tengah hari, aku akan menoleh ke arah tapak perhimpunan menyaksikan kalimah demi kalimah yang tadi itu tersejat naik ke awan. Sehinggakan awan seolah olah memuntahkan kembali kalimah itu dalam bentuk hujan di petang hari. Kah kah kah power tak patut bila aku baca balik.

Setelah selesai bacaan ikrar, aku akan mula berfikir tentang bola.Ya bola. Murid perempuan macam biasa main bola jaring padahal peraturan pon tak tahu. Kalau ada murid-murid lelaki main benda lain waktu pj dianggap loser tak patut. Yang kodi sikit sikit dia akan join budak perempuan main bola jaring. Kitaorang pengadil dan kitaorang jugak yang jadi pemain. Cikgu pj macam biasa lepak dengan budak perempuan. Kalau dia malas sangat dia tengokkan kitaorang dari kantin je sambil minum air dengan cikgu yang takde kelas.

Priitttttt. Bunyi wisel yang semula jadi keluar dari mulut kawan aku, namanya Pali. Padahal banyak pegi air liur je aku tengok. Selang 5 minit Pali keluarkan bunyi yang sama, prittttttt, pritttttt, prittttt. Bunyi itu keluar bukan sebab permainan dah tamat. Tapi kawan aku Nizam telah mencangkuk bontot aku di tengah padang kerana cara aku mengelecek bola bagai ular kena palu. Kalau babi yang kejar aku kira 10 saat pertama dah patah tengkok dia . Nizam tidak dapat menahan marah dan sifat dengki melayunya itu lalu menyauk bontot aku dengan cermat. Budak perempuan turut berhenti bermain bola jaring sesekali kerana hilang fokus. Pakcik tukang kebun turut hilang fokus. Dia nyaris nak tercangkul kaki cikgu Fatimah yang berlari anak waktu tu pasal terlupa tutup lampu kereta.

Dengan tenang aku bangun. Aku rasa seolah-olah aku kehilangan sebelah dari bontot aku yang masih teruna. Aku mengambil bola dari tangan Nizam dan membawanya dihadapan pintu gol untuk mengambil sepakan penalti. Dengan sekali nafas, aku melayangkan kaki kanan aku kesebelah kanan pintu gol. Kalau dilihat bola itu menggunakan teknologi sekarang. Aku yakin separuh dari permukaan bola itu terbenam di dalam perut bola itu sendiri disebabkan daya yang kuat terhasil dari hayunan kaki aku.

Sebelum kelas seterusnya bermula. Ada seorang budak perempuan ni datang ke arah aku. Budak perempuan tu memang cantik. Kecil gemit orangnya. Pipinya tidak terlalu tembam tidak terlalu cengkung. Kadang kadang aku bayangkan seperti ada separuh bola ping pong di kiri dan kanan pipinya. Setelah budak perempuan tu berdiri betul betul berdepan dengan aku. Aku rasa nafas aku semakin tersekat-sekat. Seperti tertelan halkum sendiri. Haa namanya Syuhada. Tapi kitaorang panggil dia Ada je. Aku syak mungkin dia dah jatuh hati sama aku. Paling cikai pon dia jatuh hati dengan sepakan penalti aku tadi. Tak sempat aku bertanya Ada, "apahal kau?" Dia lebih dulu bertanya soalan ke aku. Soalan dia berbunyi macam ni. "Kau yakin ke yang tadi tu penalti?"

   

p/s : Peraturan tak penting, yang penting hati.